Jurucakap kumpulan itu yang juga calon Naib Ketua AMK Cabang Kangar, Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim berkata, mereka sebulat suara menyokong Rafizi atas pelbagai faktor terutamanya kejayaan pusat kaji selidik Pakatan Harapan, Invoke Malaysia.

Katanya, Invoke Malaysia yang diterajui Rafizi itu telah terbukti berkesan sehingga membawa kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

"Buktinya, menerusi strategi dan keberanian Rafizi membongkar pelbagai skandal telah menyebabkan 40 daripada 42 Ahli Parlimen dalam Invoke menang dalam PRU-14.

"Selain itu, Rafizi juga telah membawa minat golongan muda untuk melibatkan diri dalam politik baharu negara dan bijak menegur pemimpin termasuk di dalam Pakatan Harapan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama calon Ketua AMK Padang Besar, Ahmad Soffi Abdul Manah dan calon Timbalan Ketua AMK Cabang Kangar, Muhammad Wajdi Salehuddin.

Dalam pada itu, Abdul Asymawi Syazwi berkata, calon-calon AMK Cabang Kangar, Arau dan Padang Besar turut menyokong Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir sebagai calon Ketua AMK Pusat.

"Akmal bukan sahaja menewaskan tokoh politik veteran, Tan Sri Shahrir Samad pada PRU-14 lalu tetapi juga menunjukkan kemampuan melontarkan idea-idea hebat semasa debat di sebuah stesen televisyen baru-baru ini," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE