Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanpun, calon itu tidak semestinya daripada kepe­mimpinan yang memiliki jawatan tertinggi di peringkat bahagian.

“Pendekatan pemilihan calon seumpama itu sudah terbukti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Su­ngai Besar serta PRK Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Tanjung Datu.

“Calon mesti disukai walaupun bukan terdiri daripada kepe­mimpinan bahagian. Jadi, jika ada perwakilan bahagian disukai dan boleh menang, maka, jangan terkejut jika kita tidak pegang jawatan pun, kita akan dipilih,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap merasmikan Persida­ngan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat dan Timbalannya, Zaidi Japar.

Ahmad Zahid berkata, kaji­an sebuah universiti mendapati faktor kemenangan sesuatu kerusi itu, 85 peratus daripadanya disumbangkan faktor calon manakala 15 peratus lagi disebabkan faktor lain.

Justeru itu, beliau menasihati mereka yang berada dalam kepe­mimpinan parti sama ada di pe­ringkat cawangan atau bahagian supaya berlapang dada apabila tidak dipilih sekiranya benar-benar sayangkan BN.

Sementara itu, beliau mengingatkan ahli UMNO supaya tidak terpedaya dengan analisis kajian pihak tertentu yang menyentuh potensi kemenangan pada PRU akan datang bagi melekakan jentera parti dan pengundi.

Menurutnya, terdapat pihak dalam pembangkang yang me­lakukan kajian rambang menunjukkan seolah-olah UMNO dan BN masih boleh memerintah negara selepas PRU akan datang bagi menjatuhkan BN.

“Kita jangan terjebak dengan analisis kajian yang dilakukan sebab ada agenda tersembunyi supaya kita leka seolah-olah kita terus memerintah negara dan mereka berharap supaya tidak berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yakin Johor akan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) walaupun pembangkang sedang memindahkan pengundi di kawasan yang mereka menang tipis pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya, strategi itu yang dilakukan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu tidak akan berhasil kerana BN Johor sudah bersiap sedia dengan gerak kerjanya.

“Saya amat yakin dengan ke­pemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan rakan-rakan dalam BN akan dapat menangkis (usaha itu) kerana kejituan mereka. Johor akan kekal jadi simpanan tetap BN,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat dan Timbalannya, Zaidi Japar.

Mengenai jentera UMNO Bahagian Batu Pahat, beliau meminta mereka supaya bekerja keras memenangi hati pengundi khusus­nya pengundi atas pagar selain menolak hasutan pembangkang.

Naib Presiden UMNO itu ber­kata, kesepakatan dan kaedah tersebut adalah bagi merampas semula kerusi Parlimen Batu Pahat yang dikuasai pembangkang iaitu PKR.

Mengikut kajian yang dilakukan, terdapat sembilan peratus pengundi di Parlimen itu merupakan pengundi atas pagar manakala DUN Penggaram (1.5 peratus), DUN Senggarang (7.3 peratus) dan DUN Rengit (4.2 pe­ratus), katanya.