Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan semua bakal calon termasuk muka baharu melakukan persiapan dari segi mental dan fizikal sebelum nama mereka diumumkan secara rasmi.

"Sebahagian daripada calon telah pun mengetahui mereka akan dicalonkan kerana kita telah memaklumkan kepada mereka tetapi bukan semua. Langkah ini bagi membolehkan mereka membuat persiapan awal atau apa yang kita panggil sebagai 'soft landing'.

"Paling penting adalah memaklumkan kepada mereka supaya mereka tidak terkejut dan bersedia dari segi mental dan fizikal. Proses ini sedang berjalan termasuk mereka yang digugurkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Akademi Lumba Kereta Memandu T-City yang menempatkan siri perlumbaan U.S. Legend Cars yang pertama di Asia Tenggara dan ketiga di Asia selepas Jepun dan Korea Selatan.

T-City merupakan bandar bersepadu moden bertemakan sukan permotoran pertama di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, projek yang dibangunkan dengan penglibatan syarikat swasta itu bakal menjadi suatu lagi tarikan utama ke negeri ini.

"Dalam masa dua tahun, kita akan menyaksikan lebih banyak kemudahan sukan permotoran di sini kerana pembangunan T-City masih di peringkat awal," katanya. - UTUSAN ONLINE