Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ini kerana sejak sebelum PRK lagi kerajaan negeri di bawah BN telah berusaha menyelesaikan isu-isu tanah yang dihadapi oleh petani masyarakat Cina.

Menurutnya, untuk memastikan usaha menyelesaikan isu tanah pertanian yang dihadapi pekebun dapat diteruskan, maka pengundi perlu memilih calon BN itu dalam PRK Cameron Highlands.

"Oleh kerana sudah nampak Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan isu tanah, maka kita harap ia dapat diteruskan dengan cara pengundi khususnya kaum Cina mendokong kerajaan negeri dan menjadikan calon BN sebagai wakil rakyat di sini.

"Beliau boleh menjadi perantara masyarakat setempat dengan kerajaan negeri apatah lagi Ramli berasal dari sini manakala Menteri Besarnya dari Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Cameron Highlands," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan dialog dengan pengundi masyarakat Cina di Ringlet di sini hari ini.

Menurut Ka Siong, secara keseluruhan sokongan pengundi Cina terhadap calon yang diketengahkan oleh BN adalah baik kerana mereka yakin kerajaan negeri di bawah BN dapat menyelesaikan isu tanah di sini jika Ramli menjadi wakil rakyat.

Katanya, pengundi Cina tiada masalah untuk menerima calon BN itu sebagai wakil rakyat kerana beliau merupakan anak tempatan dan bukannya calon bidan terjun malah pergaulannya dengan penduduk di sini amat rapat.

Katanya, calon BN itu seorang yang tidak banyak bercakap tetapi begitu mesra dengan penduduk di sini yang disifatkannya sebagai 'orang sekampung'.

"Saya dapat merasakan persahabatan yang erat di antara masyarakat setempat dengan calon BN ini yang kebetulan berasal dari kawasan berdekatan pekan Ringlet. Ini satu faktor yang baik untuk kita jadikan beliau sebagai wakil rakyat di Parlimen dan membawa apa juga masalah kepada kerajaan negeri.

"Beliau orang sini, sudah tentu beliau arif tentang masalah di sini. Beliau bukan calon bidan terjun yang datang dari tempat lain dan terus mahu jadi wakil rakyat dan saya sifatkan PRK ini pertarungan di antara calon anak watan dengan calon bidan terjun," katanya. - UTUSAN ONLINE