Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya sudah dua kali menyaring nama-nama calon sebelum tapisan terakhir dilakukan dalam tempoh sebulan lagi.

 Beliau berkata, kali pertama saringan calon dilakukan adalah pada tahun lalu.

 "Kita mengambil pendekatan mengemukakan antara tiga hingga empat nama bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jadi sudah tentu muka baharu itu ramai.

 "Setakat ini saya sudah berjumpa secara individu dengan hampir kesemua Ketua Bahagian untuk berbincang dengan teliti senarai calon dan kita akan pilih yang terbaik sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Setiausaha UMNO negeri, Datuk Hanafi Mamat; Bendahari UMNO negeri, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

 Dalam masa sama, Mustapa berkata, pihaknya sudah menubuhkan jawatankuasa manifesto pilihan raya yang dipengerusikan Datuk Dr Awang Adek Hussin. - UTUSAN ONLINE