Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berpendapat, secara prinsipnya Ketua MACA Bahagian Gelang Patah, Datuk Jason Teoh dilihat layak bertanding di situ tetapi semua itu terpulang kepada MCA dan Perdana Menteri.

Beliau mahukan jentera BN di Parlimen itu tidak mengambil mudah serta leka seperti Pilihan Raya Umum ke-13 dan kali ini mengambil kira semua isu-isu dan senario politik semasa.

"Visi kita (di Gelang Patah) ialah lihat kekuatan dalam kepelbagaian, berkempen secara sihat serta kempen dengan tidak menanam kebencian dan perpercahan. Kita bimbang mereka yang tidak bertanggungjawab menang sorak kampung tergadai.

"Di Gelang Patah kita perlukan calon yang boleh diterima rakyat. Gelang Patah cukup penting dan harap jentera parti dekati semua yang ada di luar. Saya tengok semangat yang luar biasa di Gelang Patah," katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Tahun Baru Cina 2018 di Dewan Raya Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Taman Damai Jaya, Skudai, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Gelang Patah, Khairi Malik; Jason Teoh dan Ketua Gerakan Bahagian Gelang Patah, Albert Teoh. - UTUSAN ONLINE