Seng Yee, 40, berkata, dia telah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan tidak menyasarkan undian besar akan diterima pada hari pengundian, 26 Januari ini.

“Semasa mula-mula mahu bertanding, saya hanya sasarkan untuk dapat 1,000 undi sahaja tetapi melihat sambutan orang ramai, sasaran saya naik kepada 1,500 undi.

“Jika saya tewas, saya telah bersedia dan tidak kisah untuk hilang wang deposit. Apa yang penting saya dapat suarakan isu-isu petani di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut gra­duan Sarjana Sains Hortikultur dari University of Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat itu, sepanjang enam hari kempen berlangsung, dia mendapat banyak pandangan dan aduan berhubung masalah kesesakan lalu lintas, bayaran tempat letak kenderaan yang tinggi dan isu tanah pertanian.

Malah katanya, dia juga melihat sambutan orang ramai terhadapnya sangat baik terutama apabila melihat ‘kostum’ yang dipakainya sehingga ada yang menggelarkannya sebagai ‘farmer calon’ dan ‘abang topi’.

“Saya nampak peluang cerah dan lebih baik daripada yang dijangka. Momentum juga semakin naik dan sekarang hanya separuh tempoh kempen, saya akan usaha untuk dapatkan lebih undi.

“Buat masa sekarang, saya banyak pergi ke lokasi tumpuan ramai seperti pasar dan kedai makan. Selapas ini saya bercadang untuk pergi ke kawasan Orang Asli dan berjumpa dengan penduduk di DUN Jelai pula” katanya. - UTUSAN ONLINE