Suri rumah berusia 51 tahun itu berkata, calon BN itu sudi menerima manifestonya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, semalam.

“Saya sempat beri Tok Mat (Mohamad) manifesto saya semasa kami bertembung pada hari pengundian awal. Tok Mat ‘gentleman’. Dia bukan pengecut macam pemimpin politik bertaraf ‘darjah dua’.

“Kami saling mengucapkan selamat maju jaya dan inilah kepemimpinan politik yang baik,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, beliau dihalang daripada menyerahkan manifestonya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 penubuhan PKR di Dataran Rantau.

Sementara itu, beliau menyatakan rasa kesal ekoran kain rentang kempennya hilang dipercayai dicuri.

Ujarnya, beliau hanya memasang 10 kain rentang di sekitar Rantau bermula semalam dan salah satu daripadanya didapati hilang pagi tadi.

“Kain rentang itu saya pasang di hadapan sebuah surau petang semalam. Saya telah dapat keizinan daripada pihak surau. Pagi ini pasukan kempen saya dapati ia telah tiada,” katanya. - UTUSAN ONLINE