Setiausaha Pas negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, selepas kumpulan pemberontak disingkirkan, ahli parti itu kini terdiri daripada mereka yang berdisiplin dan patuh dengan arahan serta keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan.

“Jika ada ‘pemain import’ yang juga merupakan pemimpin utama bertanding di Kelantan, ini menunjukkan kesungguhan Pas untuk mempertahankan Kelantan. Samalah juga kalau bermain bola, kita masukkan pemain import untuk memperkuatkan pasukan.

“Kita tidak risau penolakan ahli kerana mereka yang memberontak semuanya sudah keluar dari parti. Yang ada kini ahli-ahli yang berdisiplin, patuh kepada pemimpin serta tidak berebut jawatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas jamuan makan tengah hari bersama pengamal media di Restoran Al Khatiri, Kubang Kerian di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man disebut-sebut akan bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

Pemimpin utama lain yang dikatakan akan bertanding di negeri ini ialah Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan (Parlimen Bachok) serta Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh (Parlimen Pasir Puteh).

Dalam pada itu, Che Abdullah yang enggan mengulas lanjut kedudukan sebenar pemimpin-pemimpin itu dalam PRU-14 sekadar berkata, mereka akan bertanding di mana sahaja mengikut keputusan parti. - UTUSAN ONLINE