Penganalisis politik, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, kesan kecil daripada cah keting itu dapat dilihat pada tempoh 11 hari berkempen nanti, iaitu segala program tidak setara malah mungkin berlakunya perbuatan sabotaj dalam kalangan jentera, penyokong dan ahli akar umbi.

“Kesan besar pula, PKR mungkin berdepan dengan kekalahan besar termasuk kehilangan Selangor pada PRU-14 nanti jika cah keting tidak dapat dibendung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga melalui catatan di akaun Twitter miliknya hari ini turut mengulas mengenai krisis dalaman antara Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Apabila rakyat melakukan segala-galanya dalam kuasa mereka untuk melepasi halangan bagi memastikan mereka dapat mengundi dan membantu pada pilihan raya, perbalahan mengarut dalam PKR ini tidak boleh dimaafkan,” katanya.

Sementara itu, Nik Ahmad Kamal yang juga Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberitahu, sebagai parti politik yang bukan lagi novis, kepemimpinan tertinggi PKR harus mencerminkan sikap yang matang dan bukan kebudak-budakan.

Katanya, situasi tersebut menjelaskan kekuatan PKR adalah bergantung sepenuhnya pada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketiadaan sementara Penasihat itu menjejaskan kepemimpinan parti.

“Saya tak nampak macam mana jika PKR hendak mentadbir negara jika presiden dan timbalan presidennya sendiri tidak mahu mengalah dan gagal mencapai kata muafakat,” katanya. -UTUSAN ONLINE