Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, selama ini ketua bahagian dan cawangan di seluruh negara sering mengadu kepada beliau bahawa kantung mereka kosong sehingga sukar untuk melaksanakan program di kawasan masing-masing.

Sehubungan itu, tegas beliau, tindakannya mencadangkan kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan dalam perhimpunan agung parti baru-baru ini adalah berasas, selain menyifatkan cadangan itu dibuat di tempat yang betul dan pada masa yang tepat.

“Apa saya sebut itu tidak ada skrip, tetapi spontan. Saya terfikirkan perkara itu kerana ramai ketua bahagian dan cawangan datang kepada saya berkongsi masalah mereka, bukan (dari) Kelantan sahaja tetapi seluruh negara. Sebagai Naib Presiden, saya rasa perlu suarakan perkara ini.

“Bagi saya, kita berpijaklah di bumi nyata. Kalau kita tidak ada duit, (maka) tidak adalah. Dalam memberi khidmat kepada masyarakat, kita tidak boleh berjimat. Takkan kita nak ulangi kepincangan kerajaan dulu? Kita nak rakyat sokong kita secara berterusan, bukan sepenggal sahaja,” katanya.

Terdahulu, Abdul Rashid disambut dengan laungan kata-kata semangat kira-kira 100 ahli dan pemimpin Bersatu negeri, termasuk Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md. Noor setebanya beliau di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kubang Kerian, di sini hari ini.

Dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 30 Disember lalu, Abdul Rashid mengemukakan cadangan supaya kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan bagi membolehkan mereka menambah dana untuk menggerakkan parti.

Cadangan itu walau bagaimanapun ditolak Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala beberapa pemimpin sayap terma­suk Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengecam Abdul Rashid secara terbuka.