Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai malah menegaskan parti itu membantah apa sahaja hasrat untuk menutup sekolah pelbagai aliran dan pendidikan vernakular kerana percaya kewujudan sistem pendidikan itu bukan penghalang kemajuan pembangunan dan perpaduan negara.

Jelas Dominic, pendidikan pelbagai aliran juga tidak menjejaskan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana tidak melanggar semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Pendidikan satu aliran pula dilihat tidak sesuai dengan keadaan negara kerana menafikan hak rakyat berpandukan Perlembagaan Persekutuan untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing di samping memberi tekanan untuk melaksanakan pembangunan komprehensif dalam masyarakat majmuk.

“Saya berharap pemimpin, ahli akademik dan organisasi dapat menerima trend perkembangan pendidikan global yang menuju ke arah keterbukaan majmuk. Perkara ini penting bagi kemajuan berterusan negara. Idea-idea konservatif, sempit dan tindakan bersifat monolitik hanya akan membawa kepada kemunduran negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Satu memorandum yang mendesak kerajaan menghapuskan sekolah vernakular tular dalam media sosial dengan ketika ini memorandum tersebut telah ditandatangani kira-kira 50,000 orang. - UTUSAN ONLINE