Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-Layang) berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang ini, sebagai contoh, harga kelapa sawit dan getah adalah rendah dan menjadi beban kepada masyarakat terutama mereka yang tinggal di luar bandar.

Walau bagaimanapun, katanya, mereka yang tinggal di luar bandar itu mempunyai tanah untuk diusahakan dan koperasi boleh berperanan untuk membantu.

“Sebagai contoh, koperasi boleh bekerjasama dengan Exco pertanian bagi membantu koperasi di luar bandar kerana ahli koperasi mempunyai tanah.

“Exco pertanian boleh membantu koperasi menanam sayur-sayuran atau buah-buahan seperti cili, sawi, pisang dan sebagainya. Ini bagi membantu mereka menjana pendapatan, sekali gus membantu meringankan beban rakyat,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif, Sheikh Umar Ali.

Sheikh Umar (PH-Paloh) berkata, cadangan itu amat baik, sekali gus berjanji akan meneliti perkara tersebut bersama-sama dengan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal. - UTUSAN ONLINE.