Mesej jelas itu dinyatakan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri kelmarin.

Suntikan semangat, pesanan dan amanat Ahmad Zahid dalam ucapannya itu harus dihayati semua ahli UMNO. Tingkatkan solidariti supaya kekuatan gerak kerja jentera parti tidak terjejas dengan masalah dalaman kerana misi utama adalah untuk memastikan undi rakyat diberikan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Elakkan percakaran sesama sendiri sehingga mengganggu kerja jentera parti yang turun padang berkempen bagi memenangi hati rakyat. Yakinkan pengundi hanya BN dapat membela nasib dan menjamin masa depan rakyat.

Banyak cabaran bakal dihadapi dalam menangani pelbagai isu dibangkitkan pembangkang, justeru adalah penting untuk UMNO memperkasa gerak kerja jentera parti dan mengatur strategi berbisa bagi meraih undi selain memutihkan kawasan dianggap kelabu.

Beri penjelasan kepada rakyat terhadap isu-isu berbangkit, supaya mereka tidak terperangkap dengan dakyah pembangkang itu. Menangi hati rakyat dengan membawa permasalahan dan kemusykilan mereka kepada kerajaan untuk diselesaikan.

Pada masa sama, semua pihak baik di peringkat akar umbi mahupun kepemimpinan hendaklah mengamalkan politik ketertiban. Dekati rakyat dengan berhemah, bukannya mengamalkan pendekatan politik kebencian. Dan jangan pula ada pihak tertentu yang mencari personal glory atau ‘kejayaan peribadi’. Tindakan sedemikian akan hanya merugikan UMNO.

Paling penting semua pihak mesti sokong calon yang dipilih oleh parti. Tidak perlu pertikaikan pemilihan mereka dan ber-tindak mensabotaj calon. Mana-mana pemimpin yang tidak terpilih pula tidak harus berkecil hati. Sebaliknya mereka perlu sentiasa berlapang dada dan tidak melakukan sesuatu yang boleh melumpuhkan jentera parti.

Perlu ada keyakinan bahawa calon yang dipilih itu telah dipertimbangkan dalam pelbagai aspek dan merupakan ‘calon boleh menang’ selain mampu menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

Bersiap sedialah, laksanakan tugas masing-masing apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi arahan action! (bertindak). Jentera parti sepatutnya sudah tahu apa yang perlu dilakukan sebaik sahaja gendang pilihan raya dipalu.