Ketuanya, Mohammad Khairi A. Malik turut mengalu-alukan calon DAP lain untuk bertanding di kawasan berkenaan dan langkah itu tidak akan melemahkan semangat Barisan Nasional (BN).

“Saya dengar ada nama lain iaitu Zahid Ibrahim (ahli DAP) mahu bertanding di Gelang Patah. Kita alu-alukan sesiapa pun calon DAP kerana kita yakin boleh menang.

“Ini kerana Kita sudah buat kajian dan ada strategi tertentu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan Rumah Ihsan Johor di Kampung Pok Besar di sini, hari ini.

Pihaknya tidak bimbang jika Kit Siang kembali bertanding di sini kerana sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat, Penasihat DAP itu langsung tidak membantu penduduk setempat.

Katanya, Kit Siang banyak memberi tumpuan di luar kawasannya dan kali ini pengundi Melayu, Cina serta India di sini sudah sedar siapa yang harus mewakili mereka.

“Sebagai ahli Parlimen sepatutnya beliau boleh mengangkat pelbagai isu yang membawa kebaikan kepada penduduk dan pengundi dalam sidang Parlimen.

“Namun kita tidak pernah dengar beliau menyebut nama Gelang Patah. Apa kerja yang dia buat di kawasan kita? Takkan pengundi di Gelang Patah nak beri lagi untuk wakili kita?” soalnya.

Pengerusi BN Gelang Patah itu berkata, pihaknya juga mahu menawan kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai dan gerak kerjanya sudah ada untuk merampas semula.

“Kita mahu rampas Parlimen Gelang Patah semula, menawan DUN Skudai dan pertahankan DUN Nusajaya yang kita menang. Rampas, tawan dan pertahan (RTP) adalah slogan kita," katanya. - UTUSAN ONLINE