KUALA LUMPUR 28 April - Gabungan pembangkang PKR dilihat cukup terdesak apabila menggunakan ruang undang-undang sebagai modal politik mereka dengan niat untuk menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat terhadap kesahihan parti UMNO.

Tsunami fitnah gabungan tersebut dapat dilihat apabila peguam PPBM, Rafique Rashid Ali menyatakan semua calon gabungan tersebut di seluruh negara akan memfailkan bantahan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO mencabar kesahihan UMNO.

Mengulas mengenai hal ini, pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Noorfajri Ismail berkata, gabungan pembangkang PKR perlu mengikut prosedur perundangan seperti termaktub dalam perlembagaan dan menghormati keputusan yang telah dibuat Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah Tinggi telah melakukan penelitian menyeluruh terhadap kes tersebut sebelum keputusan dilakukan. Gabungan pembangkang PKR berhak untuk mengemukakan rayuan namun tidak seharusnya menjadikan kes tersebut sebagai modal politik mereka untuk menyerang kerajaan BN.

“Bagi pengamal undang-undang yang berada bersama gabungan tersebut, mereka seharusnya menasihati klien yakni parti yang diwakili itu agar menerima keputusan mahkamah namun sebaliknya golongan cerdik pandai ini hanyut dalam keghairahan politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Noorfajri, pemimpin UMNO telah mengikut prosedur seperti yang termaktub dalam undang-undang apabila meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memberi penangguhan sementara sehingga 19 April 2019.

Katanya, keputusan ROS adalah mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan kuasa tambahan mengikut Seksyen 3A akta sama yang berkuat kuasa dari 10 Jun 1988. -UTUSAN ONLINE