Jelas Ahli Parlimen Kinabatangan itu lagi, walaupun mungkin ada pemimpin yang keluar daripada UMNO, tetapi parti itu masih mempunyai ramai pemimpin pelapis yang boleh menggalas tanggungjawab menerajui parti itu di masa hadapan.

Tambah Bung Moktar, beliau juga telah menghubungi Datuk Seri Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Beluran itu juga menafikan akan keluar daripada UMNO.

"Saya sendiri Insya-Allah masih berjuang dalam UMNO di Sabah.

"Saya sempat berbicara dengan Ahli Parlimen Beluran tengah hari tadi dan beliau menafikan khabar angin tersebut. Yang lain-lain saya tak dapat hubungi,” katanya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today hari ini.

Hari ini empat ahli Parlimen UMNO Sabah dilaporkan dijangka keluar dari parti tersebut bagi menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Kerajaan Persekutuan.

Memetik laporan sebuah portal berita, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor juga dijangka mengumumkan pembubaran parti itu esok.

Empat wakil rakyat itu adalah Ahli Parlimen Kudat, Abd Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee. - UTUSAN ONLINE