Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara itu membimbangkan orang ramai yang berharap mereka dapat mengatasi masalah harga dan permintaan terhadap komoditi berkenaan.

Mengambil contoh cadangan menanam buluh bagi menggantikan kelapa sawit, beliau berkata, perkara itu tidak mungkin boleh dilakukan kerana terdapat lima juta hektar tanah di seluruh negara yang ditanam kelapa sawit.

“Tak boleh senang-senang nak tebang macam itu saja. Modal nak tebang datang dari mana. Lepas itu (menteri) tak beritahu buluh apa nak tanam. Ada banyak buluh. Buluh lemang, buluh panda, buluh meriam, buluh madu, buluh cina, yang mana satu?

“Di Selangor pula lebih teruk, ada yang suruh tanam ganja sebab ikut kiraan dia kalau tanam kelapa sawit seekar boleh dapat RM3,000 setahun tetapi ganja RM9 juta setahun.

“Sebab itu bila bercakap kena fikir habis-habis, mereka bukannya pembangkang. Sebagai kerajaan kena fikir realiti rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau di Kampung Bemban di sini malam tadi.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 mempunyai hikmah tersendiri kerana dapat menyatukan UMNO dan Pas serta parti-parti pembangkang lain.

“Ini nikmat kalah, kita dapat duduk sama dengan Pas. MIC pun boleh duduk dengan Pas. Kalau menang belum tentu boleh kerjasama. Ini suasana baharu dalam politik negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE