TUNKU ABDUL AZIZ

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa, keputusan tersebut pasti membuatkan DAP berasa ‘malu’ kerana sebelum ini, mereka sering melancarkan serangan berbentuk tohmahan kepada ROS.

Sebaliknya, menurut beliau, pengumuman ROS itu membuktikan jabatan tersebut bertindak berdasarkan peruntukan perundangan dan bukannya mengikut telunjuk mana-mana pihak.

“Ini memang cara mereka, bukan saha­ja dalam isu pemilihan CEC tetapi juga dalam isu lain, kita lihat bagaimana me­reka menyerang mah­kamah dan hakim dengan mengatakan tidak berlaku adil serta bertindak mengikut kehendak politik.

“Kalau kita tengok rekod kes mahkamah banyak dimenangi DAP dan bukannya kerajaan, tetapi se­perti biasa (bila perkara memihak DAP) mereka akan senyap sahaja, tidak pula nak memuji (ketelusan perundangan),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

ROS dalam kenyataan semalam memaklumkan, pemi­lihan semula CEC DAP pada 12 November lalu mematuhi semua syarat yang diarahkan dan keputusan itu adalah berdasarkan rumusan yang diperoleh daripada siasatan yang dijalankan oleh jabatan itu.

Sementara itu, bekas Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, A. David Dass mendakwa, DAP tidak sepatutnya menuding kesalahan kepada pihak lain terutama kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung isu pemilihan CEC, namun sebaliknya perlu muhasabah diri dan mengakui kesilapan yang telah dilakukan.