Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangkang hanya mem­peralatkan Dr. Mahathir apa­bila meletakkan syarat pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum membolehkan be­liau dilantik sebagai Perdana Menteri selepas bersetuju dengan pelantikan Pengerusi Parti Pri­bumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu memegang sementara jawatan berkenaan.

“Bagi pembangkang, pemim­pin mereka hanya seorang iaitu Anwar. Dr. Mahathir hanya diperalatkan. Apabila sudah ada Anwar, Dr. Mahathir tiada guna lagi kepada mereka. Bak kata pepatah, tiada rotan akar pun berguna, setakat itu gunanya Dr. Mahathir kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Tamat Latihan Pelatih GiatMara Bera 2017 dan Moh Ngeteh bersama warga kilang Felda Parlimen Bera di Pusat Komuniti Bandar 32 di sini hari ini.

Beberapa portal berita yang memetik sumber melaporkan PKR menetapkan tiga syarat untuk bersetuju Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri sementara jika Pakatan Harapan memenangi PRU-14.

Antara syarat itu adalah sebaik sahaja membentuk kerajaan di Putrajaya, bekas Perdana Menteri itu hendaklah mengusahakan agar Anwar dibebaskan segera daripada penjara dan membuka jalan untuk beliau dilantik sebagai Perdana Menteri dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berharap Dr. Mahathir yang mempunyai pengalaman luas sebagai bekas Perdana Menteri menyedari bahawa beliau diperalatkan oleh pakatan pembangkang.

“Sebagai bekas Perdana Menteri dan Anwar pernah berada di bawahnya, Dr. Mahathir perlu sedar bahawa selama ini pembangkang hanya mempergunakannya,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sebuah GiatMata Prima akan dibangunkan di Bandar 34 di sini dengan kos RM10 juta dalam tempoh terdekat.

Pusat latihan berkenaan, kata beliau, bakal menawarkan lebih daripada empat kursus bagi memberi peluang kepada masyarakat di sekitar daerah ini memperoleh kemahiran yang diperlukan sebagai sumber pendapatan.