Calon PKR Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hanya menjadi penasihat kepada penduduk di situ, dan keputusan penduduk terbabit untuk menarik diri daripada projek Residensi Kerinchi tidak ada kena-mengena dengan beliau. 


“Bukan kita mahu menyalahkan 35 keluarga itu (kerana terlepas projek Residensi Kerinchi), tetapi Nurul Izzah hanya beri nasihat kepada mereka untuk buat pilihan yang terbaik. 


“Beliau menasihatkan, sekiranya mereka merasakan keputusan untuk terima (projek Residensi Kerinchi) adalah tawaran yang terbaik, maka terimalah. Tidak ada elemen atau istilah menghasut. Mereka sendiri buat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Manifesto PKR Lembah Pantai dekat sini hari ini. 


Penduduk yang menerima projek Residensi Kerinchi yang dibangunkan oleh Kerajaan Pusat itu kini tinggal di pangsapuri berkeluasan 900 kaki persegi yang kondusif dengan dilengkapi kolam renang, surau, taman permainan dan sebagainya tanpa sebarang bayaran berdasarkan konsep trade-off (tukar ganti).- UTUSAN ONLINE