Jamilah Anu

 

 

Sejak namanya diumumkan sebagai calon, tiada siapa yang pernah mendengar sendiri daripada mulut Jamilah apa yang mendorongnya bersetuju menerima pencalonan itu kerana beliau yang masih dalam tempoh idah mengelak untuk ditemu ramah pemberita dan menonjolkan diri di khalayak umum. Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia,
ANGELINA SINYANG dan jurugambar, MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA di kediamannya di Damai Jaya, Santubong, beliau memberikan jawapannya.

 

UTUSAN: Bagaimana Puan Sri tahu dicalonkan bertanding untuk PRK DUN Tanjong Datu?

JAMILAH: Saya tahu nama saya dicalonkan apabila dihubu­ngi dan dimaklumkan sendiri oleh Datuk Amar Johari dan saya menyatakan kesanggupan.

Apa yang mendorong Puan Sri setuju dicalonkan?

JAMILAH: Sejak pemergian suami), ramai rakyat di Tanjong Datu menyatakan hasrat mereka mahu melihat saya menggantikan Allahyarham Tok Nan. Keputusan saya juga didorong demi kebaik­an anak-anak. Jika memilih salah seorang antara mereka sebagai calon, bimbang ada yang berkecil hati. Saya tiada niat langsung bertanding semata-mata mahu meraih populariti sebagai isteri bekas Ketua Menteri atau sebab sudah banyak masa terluang selepas Tok Nan meninggal dunia.

Puan Sri bukan ahli politik, tiada latar belakang pendidikan politik cuma lulusan setiausaha dan isteri kepada ahli politik. Daripada mana timbul keyakinan untuk menceburi politik?

JAMILAH: Jauh di sudut hati, saya ada banyak perkara yang boleh dikongsi bersama rakyat setelah hidup bersama Tok Nan selama 37 tahun. Saya boleh me­laksanakan apa yang dirancang oleh Allahyarham sebab saya hidup bersama dan mendapat pembe­lajaran politik pertama daripada Allahyarham. Memang betul saya bukan ahli politik tetapi saya tahu apa fikirannya, bagaimana Allahyarham berkongsi impian bersama saya.

Semasa hayat, adakah Tok Nan sendiri pernah menggalakkan dan mengharapkan Puan Sri menyambung legasinya?

JAMILAH: Tidak, kerana saya hanyalah berperanan sebagai isteri, kawan dan setiausahanya.

Boleh kongsi kenangan sebelum Tok Nan menghembuskan nafas terakhir dan pesanan arwah?

JAMILAH: Dia menghembuskan nafas terakhir di Kampung Jernang, Kota Samarahan berdepan dengan Pusat Jantung, iaitu tempat pertama dia memulakan karier dalam politik. Sehari sebelum itu, Allahyarham duduk di koridor dan merenung ke seberang. Dia kata, “ini (pembangunan) yang saya dah buat sebelum ini” sambil melihat ke arah Unimas (Universiti Malaysia Sarawak) terletak berhampiran dan bangunan besar hospital tersebut.

Saya juga melihat dia membaca buku J.F Kennedy Last 100 Day, melihat video perarakan pengebumian bekas Presiden Amerika Syarikat itu dan sekarang baru saya terfikir ia mempunyai kaitan. Sebab itu, bila melihat hadirin masa pengebumiannya ia sama seperti melihat pengebumian Kennedy.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia panggil anak-anak dan cucu bagi tahu dia sayang semua mereka dan akhir sekali dia panggil saya, menggenggam tangan saya sambil berkata, Milah, I love you.