Perdana Menteri berkata, Kedah mempunyai potensi logistik kerana kedudukannya di utara tanah air.

“Selepas balik dari Langkawi saya berbincang dengan Menteri Kewangan Kedua bahawa kita akan majukan Bukit Kayu Hitam sebagai pusat logistik untuk bahagian utara. 

“Kalau nak majukan Bukit Kayu Hitam memang tepat kalau kita juga naik taraf lapangan terbang Alor Setar kepada status antarabangsa dalam tempoh lima tahun ini.

“Ini lebih sesuai sebab boleh kaitkan dengan pembangunan logistik Bukit Kayu Hitam,  “ katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penutup Ekspo Muafakat Kedah di pekarangan Stadium Darulaman dekat sini hari ini.

Turut mengiringi beliau, isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ekspo yang berlangsung selama lapan hari itu dikunjungi lebih 500,000 penduduk melepasi sasaran 400,000 pengunjung. 

Pada majlis sama, Najib melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2019-2035 sebagai salah satu agenda berterusan Barisan Nasional untuk kemajuan rakyat.

Tambah beliau, usaha memajukan Kedah berterusan sebagai menghargai sumbangan negeri jelapang padi ini walaupun ditohmah sebagai janji yang tidak mungkin dilaksanakan.

“Saya umumkan projek pembangunan infrastruktur libatkan pembesaran Hospital Langkawi dan naik taraf bekalan air dengan dana RM1.3 bilion.

“Namun ada juga pemimpin pembangkang yang berusia 93 tahun yang mentohmah bahawa peruntukan itu semua janji palsu yang tidak mungkin ditunaikan.

“Janji palsu apa kebendanya sedangkan aku janji kerajaan Barisan Nasional setakat 31 Januari 2018 berjaya ditunaikan sebanyak 99.6 peratus.

“Bukankah MRT (Transit Aliran Massa) fasa pertama berjaya kita siapkan sudah kira kita tunaikan,” katanya.