ZAMBRY ABD. KADIR

Namun bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, keputusan itu perlu diterima demi kebaikan parti.

Bersama wartawan Utusan, SAYED HESHAM IDRIS beliau mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

UTUSAN: Mengapa keputusan sedemikian perlu dibuat?

ZAMBRY: Kita kena terima hakikat bahawa perhimpunan kali ini ada sedikit masalah.

Ambillah keputusan ini sebagai proses gencatan senjata bagi me­ngurangkan suhu pertikaian. UMNO biasanya membuat keputusan yang terbaik untuk parti dan ia tidak dibuat oleh Presiden sahaja tetapi dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT).

Adakah ini merupakan satu hukuman?

Bagi saya ini bukanlah hukuman. Ini merupakan jalan terbaik kerana parti memikirkan perlu mengelak daripada pertikaian yang berterusan.

Apakah ahli UMNO dapat me­nerima keputusan ini?

Saya yakin ahli UMNO faham dan menerimanya. Walaupun ini bukan tradisi dalam Perhimpunan Agung parti, kita pun tahu apa yang berlaku pada hari ini demi memastikan perhimpunan kali ini berjalan sebaik-baiknya.

Dalam ucapan perasmian, Pre­siden menekankan pentingnya perpaduan parti. Apa pandangan Datuk Seri?

Presiden telah mengambil pendekatan besar, berjiwa besar de­ngan memberikan penekanan betapa pentingnya perpaduan parti terutama kepada kumpulan-kumpulan lain dalam parti.

Jadi ahli-ahli kena ikut gesaan ini kerana ia adalah jalan yang baik. Kenapa kita kena menolak pendekatan yang baik untuk bersatu, berpadu di sebalik masalah yang kita hadapi ketika ini.

Mungkin contoh perpaduan ini boleh dipelajari daripada UMNO Perak.

Saya tak mahulah kata kami contoh terbaik. Tetapi alhamdulillah dalam konteks negeri Perak kami meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan. Maka kita lihat betapa kukuhnya perpaduan UMNO ne­geri Perak sebab kami belajar daripada pengalaman lalu. Ketika itu disebabkan berlakunya perpecahan dalaman, kita kalah dalam pilihan raya.