Jangan terkeliru dengan Ho­lly­­wood yang memberi persepsi seolah AS bebas-sebebasnya. Sebagai contoh, umur minimum untuk pengambilan minuman keras di seluruh AS misalnya adalah 21 tahun, berbanding 18 di Malaysia ketika ini.

Malah ada negeri seperti Utah dianggap sebagai ‘dry state’ (bebas alkahol) berikutan peraturannya yang ketat. Negeri ini majoritinya penganut Kristian Mormons - ajaran yang melarang penganutnya mengambil minuman keras.

Bukan sahaja premis menjual minuman keras cukup terhad, malah ada satu peraturan yang mencetuskan minat ramai iaitu ‘Zion Curtain’. Menerusi peraturan ini, penyediaan minuman keras harus dilakukan secara tertutup tanpa boleh dilihat pe­langgan.

Ini berbeza dengan realiti di bandar-bandar besar di negara ini yang mana orang yang lalu-lalang di kaki lima premis restoran sekalipun boleh melihat ada sudut-sudut penyediaan minuman keras dengan segala macam botol yang mahal harganya.

Walaupun ada pihak yang cuba menentang peraturan Zion Curtain itu, namun bagi kerajaan negeri Utah mereka tetap tegas dengan pendirian. Hujah mereka bukan hanya kerana penduduknya banyak menganuti ajaran Mormon tetapi ke­rana faktor sosial.

Peluang bertemu kumpulan pelobi di ibu negeri Utah, Salt Lake City tahun lalu memberi gambaran bagaimana hujah mereka ditegakkan berdasarkan perkara di luar lingkaran agama. Mereka memberikan fakta kesihatan, jumlah kemalangan dan juga prestasi di tempat kerja yang mana data-data memihak Utah apabila dibandingkan de­ngan negeri yang longgar peraturannya.

Biar pun ada tuntutan komersial terutama hasil cukai, mereka tidak berganjak kerana kesejahteraan masyarakat lebih penting. AS sendiri pernah me­lalui tempoh arak diharamkan penjualannya iaitu pada dekad 20-an juga atas sebab kemusnahannya kepada masyarakat. Sebab itu, ada kerajaan tempatan yang mengharamkan penjualan arak pada hari-hari ter­tentu.

Di India, satu lagi negara bukan Islam juga mempunyai peraturan tersendiri dalam soal pengambilan minuman keras. Malah ada beberapa negeri yang melarang terus penjualan. Terbaru pada 2015, negara jiran, Singapura juga memperkenalkan udang-undang lebih ketat dalam mengawal pengambil mi­numan keras termasuk memperkenalkan waktu larangan penjualan.

Di Malaysia, kontroversi pe­nganjuran Better Beer Festival seharusnya membuka mata banyak pihak. Realitinya, dalam soal peraturan pengambilan minuman keras, Malaysia ada ketikanya lebih longgar daripada sebahagian negara yang bukan penganut Islam. Tengok sekeliling termasuk di kedai serbaneka dan pasar mini.

Malah di Kelantan yang 95 peratus penduduknya beragama Islam masih dibenarkan penjualan minuman beralkohol secara kawalan walaupun ada negara di Asia Barat dengan komposisi demografi hampir serupa menjadi negara yang bebas arak.

Semua ini berlaku kerana pemerintah di Malaysia sejak dari dahulu menghormati hak rakyat bukan Islam untuk mengambil minuman keras dengan kawalan tertentu. Namun apabila menjangkau soal peringkat pesta, pastinya titik noktah harus diletakkan.

Malaysia tidak ada tradisi pesta beer seperti di Jerman yang menjadi budaya rakyatnya. Kerosakan kepada kesihatan dan struktur sosial masyarakat akibat arak tidak perlu dibentangkan oleh pakar, itu sudah jadi pengetahuan umum.

Kepada parti politik cauvinis yang gemar bermain isu agama dan kaum, melarang pesta arak bukan bermakna hak bukan Islam disekat. Tiada siapa larang tapi bukan berpesta seperti kata pemimpin Hindu Sanggam Malaysia.