Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, laporan tersebut mengesahkan bahawa nilai tersebut bukan 'dirompak' tetapi masih 'belum dibayar'.

Menurut beliau, setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan dirinya dituduh berulang kali telah 'rompak' RM19.2 bilion wang tuntutan balik input GST oleh Guan Eng, beliau telah menunggu agak lama Laporan Audit Negara terhadap isu itu.

"Jumlah yang telah diluluskan tetapi belum dibayar hanya RM1.45 bilion dan ini juga kerana pelbagai masalah seperti akaun penerima ditutup, dibeku ataupun kurang dari 30 hari.

"Sebanyak RM3.90 bilion merupakan tuntutan pulang balik yang tiada pembekalan bercukai dan sejumlah RM3.52 bilion yang masih dalam siasatan - bermakna wang ini mungkin tidak sah untuk dibayar balik. Tunggakan yang terbesar pula ialah jumlah RM9.65 bilion yang dikategorikan sebagai wang dalam siasatan," ujar Najib dalam akaun Facebook miliknya, semalam.

Beliau menambah, tunggakan terbesar seperti dicatat dalam laporan tersebut berjumlah RM9.65 bilion dan dikategorikan sebagai wang dalam siasatan.

"Terima kasih kepada Jabatan Audit Negara untuk mengesahkan bahawa Guan Eng sebenarya seorang penipu bersiri dan cuba tai-chi kelemahan dan kedangkalan sendiri untuk menyalahkan kerajaan BN dahulu," katanya. - UTUSAN ONLINE