Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicabar supaya menyatakan pendirian sebenar pentadbiran beliau dalam isu tersebut sama ada selari dengan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Negeri yang mahukan tindakan diambil ke atas Dr. Mahathir atau pun bersikap sebaliknya.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, pendirian tersebut penting dan Mohamed Azmin tidak perlu berdolak-dalik mengenainya.

“Kita nak tahu pendirian kerajaan negeri sama ada dia (Mohamed Azmin) menyokong atau tidak (tolak usul). Ini bukan kenyataan sebarangan, ini kenyataan yang dizahirkan Ketua Negeri. Jadi kita kena bincang tetapi Speaker (Hannah Yeoh) tolak.

“Apakah ia pendirian kerajaan negeri?’’ soalnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai rombongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN negeri menyerahkan memorandum kepada Sultan Sharafuddin di luar Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Semalam, Hannah menolak usul yang dibawa oleh Datuk Abdul Shukur Idris (BN-Kuang) dengan alasan ia bukan sesuatu yang berkepentingan kerana polis sudah menjalankan siasatan selain menjelaskan mahu memberikan keutamaan kepada Bajet Selangor 2018.

Dr. Mahathir pada 14 Oktober lalu, ketika berucap dalam perhimpunan haram anjuran Pakatan Harapan diketuai DAP di Petaling Jaya telah menyifatkan etnik Bugis sebagai lanun dan ekoran kenyataan tersebut, Sultan Sharafuddin yang juga berketurunan Bugis menzahirkan kemurkaan baginda.

Ditanya mengenai kandungan memorandum tersebut, Mat Nad­zari memberitahu, antaranya ialah bantahan kepada keputusan DUN Selangor, sokongan kepada Sultan Sharafuddin dalam isu terbabit serta pendirian BN negeri.

Pada masa sama, beliau turut mempersoal alasan digunakan Pakatan Harapan bahawa polis sudah menjalankan siasatan bagi menghalang usul tersebut dibahaskan.