Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, guru dan pengurusan sekolah perlu mengambil beberapa langkah lain terhadap pelajar terbabit terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan tersebut.

“Ada tujuh perkara yang perlu dilakukan terlebih dahulu oleh para guru dan sekolah antaranya memberi sesi kaunseling, berjumpa dengan ibu bapa dan berkunjung ke rumah pelajar terbabit.

“Berdasarkan rekod, tidak ramai pelajar yang dibuang sekolah kerana tindakan itu hanya diambil apabila mereka melakukan kesalahan tidak hadir ke sekolah selama 70 hari ke atas tanpa sebab termasuk melakukan beberapa masalah disiplin serius lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Jelas Mahdzir, pelajar yang dibuang sekolah masih boleh meneruskan pengajian dengan syarat ibu bapa membuat surat rayuan dan bersekolah di kawasan berdekatan.

Tambahnya, kementerian akan meneliti cadangan untuk menukarkan pelajar yang menunjukkan perilaku bermasalah ke sekolah lain sebagai langkah membantu remaja terbabit daripada terlibat dengan masalah lebih serius.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pelajar bukan warganegara hanya boleh mendapatkan pendidikan di sekolah kebangsaan sekiranya mereka membayar kadar yang ditetapkan kementerian.

“Situasi berbeza bagi pelajar yang bapanya warganegara Malaysia manakala ibu bukan warganegara. Golongan ini boleh bersekolah seperti biasa, tiada masalah,” katanya. - UTUSAN ONLINE