Tegas Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya, kedua-dua perasaan negatif itu akan menzahirkan sifat bermuka-muka hingga akhirnya berperanan sebagai `musuh dalam selimut’ dalam kalangan ahli.

Menurut beliau, sekiranya perkara itu dipupuk, keharmonian dan perpaduan dalam kalangan ahli parti di peringkat bahagian akan terjejas sekali gus memberi kesan kepada institusi UMNO keseluruhannya.

“Apabila kita menyimpan perasaan berbelah-bahagi dan tidak percaya maka akan timbul keraguan dalam diri. Kita akan menzahirkan sifat bermuka-muka hingga akhirnya menjadi musuh dalam selimut.

“Saya mahu semua ahli termasuk sayap-sayap UMNO bahagian ini taat dan setia terhadap pemimpin yang menerajui parti. Ia merupakan asas yang perlu dipegang dan dihayati setiap ahli,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Puteri UMNO Batu Sapi di sini malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Sapi, Rahimah Asrah; Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Khairul Firdaus Datuk Akbar Khan; Ketua Puteri bahagian, Hazuliza Mohd. Dani serta ahli jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian tersebut.

Terdahulu Samsudin menghadiri Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Batu Sapi di Hotel Sandakan yang dirasmikan oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar.

Selain itu, Samsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong berkata, sebarang permasalahan yang berbangkit perlu diselesaikan secara damai tanpa perlu dihebohkan kepada pihak luar.

“Saya ingin mengingatkan ahli UMNO supaya tidak mencampuradukkan matlamat dan perjuangan parti dengan kepentingan peribadi atau kumpulan-kumpulan tertentu yang akhirnya boleh merosakkan agenda membela bangsa serta negara.

“Semua ahli di seluruh peringkat cawangan dan bahagian UMNO Batu Sapi mesti kembali menghayati gagasan perjuangan asal UMNO dengan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE