Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kekalahan BN terutama UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membawa hikmah tersendiri kerana membuka ruang kepada parti untuk melakukan pembaharuan termasuk melaksanakan agenda rejuvenasi.

"Setiap ahli UMNO perlu menolak budaya negatif yang telah mencalarkan imej UMNO, termasuklah budaya politik 'warlord', sifat angkuh, amalan politik wang dan retorik perkauman yang melampau.

"Kita tidak boleh terus bersikap jumud dan memandang remeh perkara-perkara ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini hari ini.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, keputusan MT UMNO membuka semua jawatan untuk dipertandingkan pada pemilihan adalah antara tindakan yang mampu memperbaiki imej parti.

"Saya berharap pemilihan ini dilaksanakan bebas dari sebarang amalan politik wang, serta berlangsung dalam suasana kekeluargaan.

"Pemilihan ini harus menjadi platform untuk akar umbi memberikan mandat baharu kepada barisan kepimpinan yang difikirkan mempunyai visi dan memiliki kemampuan untuk menerajui dan memulihkan imej parti ini dalam mendepani cabaran yang mendatang," katanya. - UTUSAN ONLINE