Abdullah Sani berkata, beliau berani menentang keputusan berkenaan kerana janji untuk meneruskan bantuan berkenaan terkandung dalam Manifesto PH.

Ujarnya, pemberian berkenaan merupakan tanggungjawab kerajaan dan selepas merayu undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU-14) lalu, kerajaan tidak wajar khianat kepada rakyat.

“Jika hendak mansuh BRIM, kena pastikan kos sara hidup turun, harga minyak turun dan gaji minimum naik.

“Ia berhubung tata kelola kerajaan kerana isunya ialah jangan ada kroni, rasuah dan perompak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis Malam Reformasi 20 tahun di sini hari ini.

Abdullah Sani berkata demikian sebagai reaksi kepada pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa BRIM akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Abdullah Sani yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, beliau tidak kisah jika menjadi tidak popular kerana membangkitkan isu berkenaan yang merupakan hak rakyat. - UTUSAN ONLINE