Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, BR1M bukan sahaja terbukti membantu golongan berpendapatan rendah, malah ia juga sebagai satu program penyusunan semula ekonomi makro Malaysia yang lebih berorentasikan subsidi.

“Bantuan ini diberi kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan mereka akan berlanjakan untuk keperluan sendiri sekali gus membantu menggerakkan ekonomi negara.

“Pemberian bantuan tunai kepada rakyat ini terbukti keberkesanannya dalam meningkatkan penggunaan demestik turut diakui sekumpulan tokoh ekonomi Britain pada 2016. Laporan The Guardian pada tahun berkenaan (2016) memetik 35 pakar ekonomi Britain termasuk Lord Robert Skidelsky dan Herman Daly yang mahu bank pusat negara itu melaksanakan pemberian bantuan tunai bagi mengatasi kelembapan ekonomi berbanding melaksanakan pemotongan kadar faedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.

Keputusan itu dibuat dengan alasan rakyat terlalu dimanjakan serta mengharapkan wang tanpa berkerja di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menjelaskan, kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk terus mengekalkan BR1M kerana kaedah itu bukan sahaja membantu merangsang ekonomi tetapi juga berjaya membantu golongan yang sepatutunya menerusi subsidi bersasar.

“Malah, mereka yang terlibat dalam bidang perdagangan runcit seperti pemilik kedai runcit akan menerima manfaatnya kerana kebanyakan penerima akan membelanjakan wang bantuan ke arah tersebut, sekali gus akan meningkatkan permintaan barang dan perkhidmatan, seterusnya memberi implikasi kepada penyedia barangan tersebut,” jelasnya.

Wanita UMNO berharap kerajaan PH menarik balik keputusannya untuk menamatkan BR1M yang diberi nama baharunya Bantuan Sara Hidup (BSH) apabila PH berkuasa pada 9 Mei lalu.

Dalam pada itu, Noraini turut menasihati penerima bantuan BR1M yang kini dikenali dengan BSH agar menggunakan bantuan tersebut dengan sebaik mungkin dan tidak dibelanjakan untuk barangan yang tidak perlu.

“Kalau boleh, belanjakan ke atas barang makanan untuk keluarga kerana mengikut kajian, sebahagian besar pendapatan golongan B40 dibelanjakan untuk makanan dan harga barangan makanan berkemungkinan naik lagi selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikuatkuasakan 1 September ini,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE