Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berpendapat walaupun rakyat dilihat bergambar dengan Najib pada program anjuran BN di kawasan DUN berkenaan, namun ia bukan penentu kepada sokongan undi mereka.

"Ia (imej Bossku) sekadar untuk media sosial sahaja, hiburan, belum tentu diterjemah kepada undi. (Program) Bossku yang datang (adalah) mat rempit. (Mereka) daftar mengundi ke tidak?

"Pada saya, biasalah. Individu kalau popular, orang akan jumpa nak tangkap gambar sahaja. Bukan mereka sokong pun, hanya nak masukkan ke dalam Facebook sahaja," katanya kepada pemberita selepas membentangkan hasil Kajian Survei Lapangan IDE 'PRK N24 DUN Semenyih: Apa pilihan pengundi' di sini, hari ini.

Ditanya sama ada BN perlu 'berhati-hati' daripada menonjolkan Najib semasa berkempen nanti, Mohammad Redzuan yakin kepimpinan parti itu lebih mengetahui bahawa penampilan bekas presiden mereka tidak akan meraih undi rakyat di Semenyih.

Tambah beliau, anggota dan penyokong BN khususnya UMNO juga sedar bahawa usaha untuk 'memulihkan' semula parti itu harus dimulakan dengan membawa imej baharu.

"Kalau kita baca komen Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan, beliau cuba nak elakkan hubungan parti itu dengan kepimpinan lalu seperti Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (presiden). Beliau sedang berusaha nak tunjuk brand (pembaharuan) dia dalam parti.

"Kalau panggil Najib (berkempen) ia seperti kembali kepada imej lama. Sama seperti di PRK Parlimen Cameron Highlands, walaupun Najib datang tapi beliau tidak mendominasi kempen, cuma untuk popular di media sosial saja," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih, manakala Sabtu ini untuk hari penamaan calon dan tarikh mengundi awal pada 26 Feb.

PRK itu adalah yang keenam diadakan selepas tiga PRK di Selangor iaitu DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong diikuti PRK Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan dan PRK Parlimen Cameron Highlands, Pahang.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian penyandang kerusi tersebut, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas, Bakhtiar memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz (14,464); calon PAS, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293). - BERNAMA