Ahli Parlimen Pekan itu menyiarkan rakaman kunjungannya secara langsung dalam akaun Facebook miliknya.

"Aik. Saya datang Tesco Senawang minum kopi saja. Korang juga ke?" tulisnya pada kapsyen rakaman berkenaan.

Najib disambut dengan sorakan orang ramai sebaik sahaja keluar dari kereta.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan merakam video beliau sepanjang kira-kira 50 minit berada di dalam pasar raya itu.

Teriakan ";Bossku! Bossku!" memenuhi ruang pasar raya dan Najib diekori sepanjang masa walaupun ketika memilih sayur dan ikan untuk dibeli.

Bekas Presiden UMNO itu semakin rajin melawat beberapa kawasan di seluruh negara dan mempromosikan lawatannya itu di akaun Facebook miliknya, menyebabkan kehadirannya sentiasa disambut orang ramai.

Namun, terdapat juga warganet yang mempersoalkan tindakannya itu kerana baru-baru ini kawasan Parlimennya, Pekan mengalami masalah kebakaran hutan dan jerebu yang agak serius. - UTUSAN ONLINE