Yang tidak pernah turun kawasan tiba-tiba semakin rajin, yang sudah dua tiga kali kalah dalam pilihan raya juga tetap mahu bertanding lagi, yang selama ini begitu bangga mendabik dada bekerja untuk bertanding dan tidak kisah dipilih bertan­ding atau tidak, sudah berubah nada memberi isyarat mahu menjadi calon kononnya bimbang ada protes kalau dia tidak terpilih dan paling menarik yang sebelum ini bekerja untuk pe­mimpin kini dia pula mahu menjadi calon, walaupun baru setahun jagung dalam politik.

Tetapi tidak mengapalah itu hak demokrasi masing-masing mahu menunjukkan sema­ngat ‘berkhidmat untuk rakyat’. Bagaimanapun keputusan muktamad ada di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Apa yang penting BN dan UMNO tidak boleh tersalah pilih calon. PRU-14 bukanlah medan untuk mempertahan atau menyelamatkan karier politik sesiapa, bukan gelanggang untuk menjadi mana-mana individu sebagai Yang Berhormat (YB) dan bukan platform untuk ‘tawar-menawar’ jika seseorang itu tidak dipilih sebagai calon.

Oleh itu, semua pemimpin dan ahli UMNO perlu menye­rahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk membuat keputusan. Tidak salah kepada mana-mana individu melobi siang malam termasuk secara tiba-tiba rajin pula balik kawasan atau kampung asal bagi me­ngadakan program, tetapi apabila keputusan sudah dibuat maka semuanya pihak perlu akur dan menghormatinya.

Berdasarkan maklumat dan laporan BN berada di landasan terbaik untuk mencatatkan kejayaan dan terus memerintah negara ini. Senario kali ini berbeza dengan PRU-13 yang parti-parti pembangkang berjaya meniup sentimen perkauman sehingga pengundi-pengunci Cina menolak BN.

Rakyat semakin yakin dengan BN berbanding gabungan pembangkang PKR dipimpin oleh seorang ahli politik berusia 93 tahun dan dilihat sanggup menjadi ‘kuda tunggangan’ kepada DAP. Manifesto BN yang dibentang oleh Perdana Menteri jauh lebih baik berbanding dengan manifesto mereka.

Malah Perdana Menteri dengan dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tanpa mengenal penat dan lelah sanggup mengelilingi negara bertemu rakyat pelbagai peringkat semata-mata bagi me­raih sokongan rakyat.

Janganlah kerana kesilapan memilih calon akan menyebabkan segala usaha itu menjadi sia-sia. Tidak salah untuk melobi menjadi calon dengan membentangkan pelbagai hujah tetapi letakkan kepentingan parti me­ngatasi segala-galanya.

Jangan bersikap hipokrit kononnya rela berkorban demi parti tetapi apabila tidak terpilih menjadi calon mulanya mahu mensabotaj parti walaupun PRU-14 adalah penentu kepada survival politik BN, UMNO dan orang Melayu.

Pucuk pimpinan parti tidak akan membuat keputusan seba­­ra­ngan dalam memilih calon. BN dan UMNO mahu menurun­kan ‘barisan perang’ terbaik ba­gi mera­napkan keangkuhan, ke­­rakusan dan kegilaan gabungan pembangkang PKR untuk berkuasa.

Adalah diharapkan BN dan UMNO akan memilih calon-calon yang benar-benar dikenali dan disukai rakyat kerana merekalah yang akan membuat penentuan, malah paling pen­ting ‘nyawa pemerintahan’ parti itu berada di tangan mereka. Oleh itu tidak boleh tersalah pilih calon kerana BN sudah ada segala-gala ‘kelengkapan untuk berperang’, cuma menanti siapakah ‘anggota’ yang akan bertempur mempertahankan panji-panji pemerintahan parti berkenaan.