Menurut beliau, biarpun Undang-Undang Tubuh Kedah tidak memperuntukkan jawatan itu ketika ini, namun sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menjadi platform untuk membuat sebarang pindaan mengikut keperluan semasa.

“Buat masa ini tak termaktub jawatan Timbalan Menteri Besar, namun DUN ada hak... Boleh ubah apa-apa yang dicadangkan seperti pernah dibuat di Selangor ketika zaman Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang jawatan itu diwujudkan oleh dewan sendiri.

“Jadi, terpulang kepada ahli-ahli dewan sama ada hendak wujud atau tidak jawatan itu kerana bukan soal PKR atau Pakatan Harapan (PH) yang memerintah tetapi sesiapa sahaja yang menerajui kerajaan, itulah amalan yg harus diikuti,” katanya ketika ditemui dalam Program Jelajah MPN di Kampung Tepi Laut, di sini hari ini.

Johari yang juga ADUN Gurun mengulas cadangan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Mohd. Nor untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar bagi membolehkan negeri ini diurus dengan baik sepanjang ketiadaan Menteri Besar.

Mengulas lanjut, ujar beliau, sekiranya usul tersebut mendapat persetujuan 2/3 daripada barisan ADUN, cadangan berkenaan perlu mendapat pula perkenan Sultan untuk memuktamadkan keputusan.

“Kalau Sultan titah ya...Iya lah tapi walau dapat 2/3 sekali pun dan Sultan titah tidak, maka tidaklah kerana apa jua keputusan akhirnya terletak pada baginda.

“Walau bagaimanapun, perkara ini tidak pernah timbul dalam mana-mana pertemuan atau mesyuarat dalaman PH (tapi) itu mungkin cadangan yang baik,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya desas-desus undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Johari berkata, PKR kekal berpegang kepada semangat PH yang merupakan paksi kepada pemerintahan ketika ini.

“PH kini sudah mantap dan segala-gala berjalan baik, tiada sebab kita nak buat apa-apa perubahan. Lagipun negeri tak boleh buat keputusan sendiri kerana kita ada pucuk pimpinan di peringkat Pusat,” katanya. - UTUSAN ONLINE