Bola sepak: ADUN cadang Exco FAP dilapor kepada SPRM
 

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata, perbelanjaan itu tidak berbaloi apabila pasukan menunjukkan prestasi hambar selain dibelenggu masalah pengurusan.

Katanya, kerajaan negeri berpendapat lebih adil sekiranya jumlah besar itu disalurkan kepada agensi negeri lain yang memberi khidmat lebih cemerlang kepada rakyat.

"Bagaimanapun pada tahun ini kerajaan negeri masih menyalurkan RM471,000 sebulan selama enam bulan atau RM2.8 juta untuk bayaran gaji," katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, A.Kumaresan (PKR - Batu Uban) meminta supaya laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat terhadap Exco - Exco FAP yang menyebabkan kelemahan pengurusan sehingga menghumban persatuan berkenaan kepada masalah kewangan.

Kumaresan membuat cadangan itu selepas M. Satees (DAP-Bagan Dalam) mendedahkan beliau mendapat maklumat bahawa seorang pemain import Brazil telah dibayar sehingga RM700,000 namun tidak didaftarkan bermain untuk pasukan beberapa tahun lepas.

Zairil Khir Johari (DAP- Tanjung Bunga) berkata, beliau menyedari masalah yang melanda FAP ketika menjadi Presiden pada tahun lalu namun tidak dapat mengesahkan jumlah bayaran berkenaan sebaliknya perlu dirujuk kepada kepimpinan FAP zaman sebelumnya.

Lip Chee berkata, ketika ini FAP masih mempunyai hutang berjumlah RM8.2 juta membabitkan gaji pemain, bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta pinjaman kewangan kenderaan dan sewaan padang.

"Kerajaan negeri kini dalam proses perbincangan dan mengkaji kaedah sesuai untuk menstruktur semula FAP," katanya. - UTUSAN ONLINE