Anwar menerusi hantaran dalam akaun Twitter miliknya menegaskan tidak sepatutnya berlaku paksaan dalam proses demokrasi.

“Tiada paksaan dalam sebuah demokrasi. Bob (Manolan) perlu memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau dengan segera,” katanya ringkas hari ini.

Bob Manolan dilaporkan memberi amaran kepada tok batin supaya mengundi PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini atau berisiko kehilangan jawatan.

Jelas Bob Manolan seperti dipetik portal Malaysiakini, pemimpin masyarakat Orang Asli dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu menyokong agenda kerajaan kerana PH hanya mahukan ketua-ketua kampung yang boleh memberikan kerjasama demi kebaikan Orang Asli.

“(Tok) Batin ini memang dibayar oleh kerajaan Pusat, maka itu batin kena sokong PH. Tak sokong kita buang. Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia.

“Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia,” katanya dalam sesi dialog bersama tok-tok batin di Pos Betau, Jelai, hari ini.

Sesi dialog bersama pemimpin masyarakat Orang Asli dan wakil daripada 18 perkampungan Orang Asli Semai itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Hari pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands ditetapkan pada 26 Januari ini dengan hari penamaan calon dijadualkan berlangsung esok manakala mengundi awal pula pada 22 Januari. - UTUSAN ONLINE