Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya pada masa sama turut yakin merampas beberapa kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

“Kita yakin dapat kekalkan dua pertiga kerusi (DUN). Bagi kerusi Parlimen, kita akan pastikan beberapa kerusi baharu dapat ditawan semula,” katanya selepas merasmikan Pusat Dialisis Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan melancarkan Skim Pinjaman Usahawan Tabung Wakaf Rakyat Johor, di sini sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi BN negeri enggan mendedahkan kerusi Parlimen yang dijangka dapat dirampas semula oleh BN.

Ditanya sama ada akan berlaku perubahan kerusi, Mohamed Khaled berkata, tiada banyak pembaharuan dilakukan pada PRU-14.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan rakyat supaya berhati-hati dengan konsep ‘Demokrasi Ala Penjajah’ atau DAP yang diamalkan pembangkang termasuk lari dari kawasan dan meninggalkan pengundi selepas membuat ‘onar’. - UTUSAN ONLINE