TENGKU ADNAN

Setia­usaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya sehingga kini masih belum menetapkan tarikh khas bagi mengumumkan calon-calon yang bakal bertanding.

Walau bagaimanapun, beli­au enggan mengulas lanjut berhubung bayangan dan latar belakang calon-calon berkenaan.

“Kita belum putus tarikh tertentu tetapi barang kali dalam tempoh 10 hari atau seminggu sebelum tarikh penamaan iaitu 28 April.

“Ia akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kita jangka calon mewakili BN bukan sahaja boleh menang, tetapi perlu disukai rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Hari Anugerah Kualiti Pendidikan peringkat Putrajaya di sini, hari ini.

Pada masa sama, Tengku Adnan merangkap Menteri Wilayah Persekutuan menafikan dakwaan sesetengah pihak yang senarai calon BN sering berubah-ubah.

Jelasnya, senarai calon perlu disaring terlebih dahulu bagi memastikan mereka benar-benar disukai rakyat.

“Kita tidak pilih calon disukai parti mahupun disukai orang tertentu, tetapi mestilah apa dimahukan rakyat.

“Saya meminta semua pihak untuk bersabar termasuk tidak membuat spekulasi berhubung senarai calon BN,” katanya.

Ditanya mengenai pertukaran kerusi antara parti komponen BN, Tengku Adnan berkata, terdapat beberapa kerusi dibincangkan yang mana kerusi asal milik MCA atau Gerakan diberikan kepada UMNO atau sebaliknya.

“Ini adalah kerana BN sentiasa amalkan perbincangan berkonsepkan konsensus kerana kita adalah parti berbilang kaum dan agama.

“Kita bantu semua bangsa dan agama dan tidak pernah menolak sesiapa daripada mendapatkan hak kepentingan agama dan bangsa. Ini disebabkan perjuangan kami adalah bersama,” katanya.