Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, parti itu menjadikan amalan memeriksa latar belakang calon sejak sekian lama dan tidak mengizinkan individu yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Jelasnya, BN pernah mencadangkan supaya perkara itu dilaksana dan diwajibkan bagi semua parti di negara ini, namun ditolak pembangkang.
“BN sudah buat sejak sekian lama, malah calon BN diwajibkan mengisytiharkan aset mereka jika mahu menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen.

“Saya sendiri semasa mahu menjadi wakil rakyat pada 2004, kena isytihar harta yang ada, apa yang saya buat, apa isteri saya buat, apa keluarga buat, semuanya kami isytihar.

“Jika calon ada masalah dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau SPRM ketika ini, kita akan panggil dia, siasat dan jika didapati benar, dia tidak akan dibenarkan menjadi calon,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KL Extravaganza dan Malaysian Supermoto Championship di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M. Noor Azman Taib; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar; Pengerusi BN Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen; Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.

Semalam, Utusan Malaysia menyiarkan laporan SPRM akan meng­heret pemimpin yang terlibat de­ngan rasuah dan salah guna kuasa ke muka pengadilan walaupun selepas mereka memenangi PRU-14.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengingatkan parti-parti politik agar tidak meletakkan ca­lon yang mempunyai latar belakang tidak bersih kerana pihak­nya pasti akan bertindak selepas pilihan raya nanti.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau meminta para pengundi di Bandar Tun Razak mengembalikan sokongan kepada BN pada PRU-14.

“Wakil rakyat di sini tidak peduli kawasan ini dan yang mengambil berat adalah BN. Setiap bulan saya datang ke sini pelbagai program pemimpin BN buat untuk rakyat,” katanya.