Perdana Menteri berkata, gabungan pembangkang PKR dike­tuai DAP tidak pernah mempunyai agenda untuk memperjuangkan UiTM tetapi BN sejak sekian lama kekal menjadikan universiti itu sebagai sebuah lambang untuk dipertahankan.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita mahu tubuhkan sebuah kerajaan yang kuat supaya kita boleh pertahankan UiTM.

“DAP dan pembangkang tidak ada agenda untuk menjaga kepen­tingan UiTM. Nak harapkan Nga Kor Ming, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng? Mereka tak boleh diharapkan,” katanya sewaktu berucap merasmikan UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, pembinaan UiTM Kampus Raub di Mukim Gali di sini yang bermula pada November 2012 dan di­siapkan pada Oktober 2015 merupakan ha­sil perjuangan Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin.

“Beliau datang ke pejabat saya dengan membawa surat dan memberitahu Raub tiada pembangunan serta tiada kampus institusi pengajian tinggi.

“Jadi beliau meminta sebuah kampus cawangan UiTM didirikan di Raub, saya terima cadangan tersebut dan terus memberikan kelulusan,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, pembukaan UiTM Kampus Raub telah membawa dua pengertian yang besar iaitu sebagai sebuah kerajaan yang telah menepati janji kepada rakyat dan bumiputera sebagai agenda nasional yang dapat dilunaskan oleh BN.

“UiTM di Raub ini akan menjadi magnet bagi membawa kemudahan awam dan perniagaan di sekitar Raub.

“Raub boleh tersohor, bukan sahaja kerana durian Musang King dan lubuk emas tetapi dengan kampus UiTM yang indah serta berkualiti,” katanya.