Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, usaha itu juga termasuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru yang dipegang Pas kerana pengundi kawasan itu boleh menilai apakah sumbangan pembangkang selama lima tahun memegang kerusi tersebut.

“Mereka (pembangkang) dilihat lebih kepada teori iaitu hanya pandai berkata-kata dan memberi arahan tetapi tidak menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat.

“Berbanding BN, mereka tetap menjalankan kerja dengan turun padang bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau ditemui selepas program turun padang ke DUN Bukit Baru dan Kenduri Rakyat bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dengan penduduk di Masjid Raudatul Jannah, Bukit Katil di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Mohd. Ali berkata, pelbagai janji BN ditunaikan biarpun telah tewas di beberapa kerusi antaranya mewujudkan peluang pekerjaan termasuk membina sekolah-sekolah rendah demi kepentingan rakyat.

Katanya, dalam tempoh itu juga, rakyat dilihat rugi kerana kawasan ditadbir oleh pembangkang menyebabkan banyak pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Pentingnya ada wakil yang boleh menyumbang kepada rakyat, mungkin sebelum ini mereka mahu perubahan tapi sekarang mereka boleh bezakan apa yang telah terjadi di kawasan ini kerana mereka tidak boleh tunaikan apa yang telah dijanjikan.

“Justeru, kita berharap rakyat juga dapat memberi semula mandat kepada kerajaan yang ada sekarang untuk mentadbir di kawasan-kawasan itu semula dengan memilih calon daripada BN,” katanya.

Tambahnya, jentera BN kini juga rancak melakukan persiapan di samping turun ke kampung-kampung untuk bertemu dengan penduduk bagi memberi keyakinan kepada mereka bagi memberikan sokongan. - UTUSAN ONLINE