Pengerusi Badan Perhubungan BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya siap sedia mempertahankan semua 26 kerusi Parlimen di negeri ini sekali gus memenanginya.

“Beritahu kita mana 15 kerusi Parlimen di negeri ini yang dikatakan mampu dimenangi mereka?” ujar Menteri Besar itu secara sinis dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Presi­den Persatuan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muh­yiddin Yassin selepas Mesyua­rat Khas Antara Pimpinan Pakatan Harapan Johor di sini semalam bahawa Pakatan Harapan yang diketuai DAP mampu merampas 15 kerusi Parlimen di negeri ini.

Pada pilihan raya lepas, BN Johor menguasai 21 daripada 26 kerusi Parlimen. Lima kerusi yang dikuasai Pakatan Harapan adalah Kulai, Gelang Patah, Kluang, Batu Pahat dan Bakri sebelum Parlimen Pagoh kini bertukar milik kepada PPBM.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas merasmikan Karnival Jualan Mega Muafakat Johor di Stadium Maj­lis Perbandaran Pasir Gudang di sini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.