Keputusan itu sekali gus meranapkan impian BN untuk mencapai kemenangan bergaya dengan sasaran merampas sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi daripada pembangkang.

Paling mengejutkan, BN hilang dua daripada tiga kubu kuat di konstituensi Bidayuh iaitu Parlimen Mas Gading dan Puncak Borneo yang masing-masing dirampas oleh DAP dan PKR.

Empat lagi kubu kuat BN yang jatuh kepada pembangkang ialah Parlimen Saratok (PKR), Selangau (PKR), Lubok Antu (Bebas) dan Julau (Bebas).

Punca dikenal pasti bagi keputusan mengejutkan ini ialah masalah dalaman parti komponen BN iaitu Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Pakyat Sarawak (PRS), di samping pemilihan calon yang tidak disukai pengundi.

Akibatnya, berlaku sabotaj dan pepecahan undi di keenam-enam kubu kuat BN berkenaan apabila ada yang dalam kalangan ahli parti bermain 'tikam belakang' apabila secara diam-diam mengundi pembangkang.

Malah, kedua-dua calon Bebas iaitu Larry Sng Wei Shien yang memenangi Parlimen Julau mengalahkan penyandangnya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Jugah Muyang (Parlimen Lubok Antu) merupakan bekas pemimpin BN.

Pada PRU-14, DAP bukan sahaja berjaya mengekalkan kelima-lima kerusi disandang, malah turut berjaya menambah satu kerusi baharu apabila menumbangkan kubu kuat BN di Parlimen Mas Gading.

PKR yang pada PRU-13 hanya memenangi kerusi Parlimen Miri, mencipta kejutan menambah tiga lagi kerusi baharu.

Peningkatan kemenangan pakatan pembangkang PKR terutama DAP disebabkan faktor sentimen Cina yang masih kuat terutama dalam kalangan pengundi di kawasan bandar. - UTUSAN ONLINE