Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, bagi tujuan itu UMNO dan BN Sela­ngor perlu dimantapkan lagi kerana usaha untuk merampas semula negeri berkenaan tidak mudah.

Walaupun tidak menafikan kecelaruan politik dalam kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekarang mungkin mempengaruhi pe­ngundi, tegasnya, masih terdapat banyak lagi perkara yang perlu diperkukuhkan.

“Kita tidak melihat begitu, kita melihat bahawa usaha yang dilakukan Tan Sri Noh Omar sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri adalah bagi memastikan ekosistem yang berubah ini harus dimantapkan oleh jentera.

“Kita tak perlu menyebutkan apa yang kita lakukan, tetapi kita mahu situasi politik yang menyebabkan hilangnya kuasa yang pernah dipegang BN dulu harus diperoleh semula dengan usaha diperkukuhkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kepada soalan mengenai situa­si semasa politik di Sela­ngor, Ahmad Zahid tidak mahu mengulas lebih daripada ruang lingkup Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dan kuasa sultan.

“UMNO menghormati Undang-Undang Tubuh Negeri Se­langor dan kuasa Sultan Selangor. UMNO dan BN tidak berhasrat untuk melakukan analisis yang terkeluar daripada lingkungan kuasa Tuanku dan undang-undang tubuh negeri,“ katanya.