Permohonan ampun yang diketuai Setiausaha BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan tujuh wakil rakyat itu diadakan menerusi satu sidang akhbar di salah sebuah hotel di sini hari ini

Di sebalik permohonan ampun tersebut, mereka sekali lagi menegaskan menolak Azlan sebagai Menteri Besar meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin mengisi kerusi nombor satu negeri itu.

Zahidi berkata, sidang akhbar tersebut diadakan bagi memohon ampun kepada baginda berikutan salah faham yang berlaku membabitkan soal pelantikan Menteri Besar sebelum ini.

Katanya, beliau dan wakil rakyat lain taat setia kepada Tuanku Syed Sirajuddin tetapi mereka tetap menolak Azlan sebagai Menteri Besar atas pelbagai sebab yang akan dimaklumkan kepada baginda nanti.

“Kami juga harap dapat menghadap Raja Perlis untuk menerangkan sebab-sebab mengapa kami tolak Azlan. Banyak sebab dan kami akan terangkan pada raja nanti,” katanya.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, kesemua sembilan Ahli Dewan ADUN BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan juga dipecat keahliannya sebagaimana yang diumumkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN.

Kemelut Menteri Besar yang sudah berlarutan hampir sebulan itu terus panas apabila BN negeri ini bercadang menghantar semula nama 11 wakil rakyat parti itu termasuk Shahidan kepada Raja Perlis untuk dipertimbang mengantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Sementara itu, Zahidi berkata, beliau percaya, salah faham yang berlaku diantara mereka dengan Raja Perlis berhubung soal Menteri Besar itu akan dapat diselesaikan dengan baik. - UTUSAN ONLINE