Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua parti berperanan dan menyumbang kepada kemenangan yang bermakna itu.

“Keupayaan BN merampas semula Semenyih juga menunjukkan rakyat menolak kerajaan Pakatan Harapan khususnya Bersatu. Ini adalah suatu referendum rakyat kepada kerajaan PH. Rakyat menunjukkan sikap ketidakpuasan hati mereka terhadap banyak perkara kepada kerajaan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengundi yang memilih BN dan tahniah kepada jentera parti di pelbagai peringkat yang bersama mencipta kemenangan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Nasarah berkata, UMNO mesti terus bekerja dan berbakti kepada rakyat.

“Kemenangan ini mesti menjadi pembakar semangat untuk UMNO terus bersama rakyat. Saya harap kita tidak leka dan selagi kita membela kepentingan rakyat, rakyat akan sentiasa bersama kita,” kata beliau.

Dalam PRK Semenyih semalam, BN menerusi gabungan UMNO-Pas berjaya merampas kerusi DUN Semenyih selepas menang dengan majoriti 1,914 undi.

Calon BN, Zakaria Hanafi memperoleh sebanyak 19,780 undi sekali gus menewaskan Muhammad Aiman Zainali dari PH yang mendapat 17,866 undi.

Dua calon lagi iaitu dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul mendapat 847 undi manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng pula sekadar memperoleh 725 undi. - UTUSAN ONLINE