Pengerusinya, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pendekatan secara bersama dilakukan BN termasuk pelaksanaan program ‘Get Out The Voters’ (GOTV) baru-baru ini yang disifatkan sebagai terbaik antara 10 negeri lain.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan sedemikian iaitu BN Pahang sebagai terbaik daripada negeri-negeri yang dilawatinya baru-baru ini.

“Apa yang berlaku di Pahang ialah kita bukan bekerja sebagai satu pasukan tetapi sebagai satu keluarga. Tidak ada siapa hendak tunjuk kuasa, semua bekerja macam adik-beradik dan itu kekuatan kita,” kata beliau ketika ditemui dalam lawatan kerja di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.

Adnan yang juga Menteri Besar optimis BN negeri tidak menghadapi masalah untuk menang majoriti dua pertiga dalam PRU-14 yang mana beliau juga melihat kemenangan parti di peringkat nasional adalah penting.

“Isu yang sering dimainkan adalah bersifat nasional seper­ti kenaikan harga barang yang mana BN negeri sendiri memastikan rakyat mendapat pemahaman tepat mengenai usaha kerajaan untuk mengatasinya.

“Rakyat sudah cerdik dan terpulang kepada mereka untuk membuat penilaian dengan maklumat tepat yang mereka peroleh,” ujarnya.