Sehubungan itu, katanya, hujah sekiranya beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April ini akan menyebabkan pembangunan di kawasan itu terhenti haruslah ditolak.

Ini kerana jelas Mohamad, menjadi tanggungjawab Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir kerajaan Persekutuan dan negeri untuk membantu membangun dan memberi layanan yang adil kepada semua kawasan sama ada ia kawasan diwakili pemimpin kerajaan ataupun pembangkang.

“BN pernah mentadbir dulu, sama ada tempat itu pembangkang ataupun tidak, kita tidak pernah menganaktirikan sesiapa, kita tahu DAP kuat di Seremban dan Rasah tapi kita tidak pernah kata jangan bangunkan kawasan tersebut, kita bangunkan kerana pembangunan itu hak rakyat.

“Sebagai kerajaan, PH tidak boleh hanya membantu penyokong mereka sahaja, mesti bantu dan semua tempat mesti diberikan layanan yang sama. Tidak boleh kata, Mohamad Hasan di Rantau maka Rantau tidak boleh dapat apa-apa,” katanya ketika berucap dalam program Pentas Pemuda di Kampung Sendayan di sini malam tadi.

Sementara itu, Mohamad yang juga merupakan Timbalan Pengerusi BN berharap pengundi-pengundi di Rantau terutamanya golongan muda dapat menjalankan tanggungjawab mereka pada 13 April depan tanpa dipengaruhi emosi.

“Anak-anak muda perlu berfikir panjang dan jangan menggunakan emosi seperti mana semasa pilihan raya umum yang lalu. Pada waktu itu merupakan pilihan raya yang tidak rasional, apabila rakyat penuh dengan emosi yang mahu menolak BN sambil ditawar janji manis PH.

“Selepas 10 bulan mentadbir, sehingga kini tiada langsung tanda bahawa mereka akan mampu menunaikan janji. Mereka anggap manifesto mereka itu bukan kitab suci, ini merupakan penipuan dan PH menang di atas pembohongan,” katanya. - UTUSAN ONLINE